Make your own free website on Tripod.com
 
Laman Alumni IBMM 96-99 - URL: http://members.tripod.com/ibmm/ - November 1999 
 
s
 
 s
 
Pemandangan yang indah di IBMM
 
 Sejarah ringkas. 

Institut Bahasa Melayu Malaysia telah ditubuhkan pada 12 Januari 1956 di atas syor Penyata Razak 1956 agar sebuah institut didirikan untuk mempertingkatkan taraf Bahasa Melayu. Tapak pertama Institut Bahasa ialah di Bukit Senyum, Johor Baharu, kemudian Institut ini berpindah ke kampus tetapnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Institut Bahasa telah dirasmikan pembukaannya pada 14 Jun 1956 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuaku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Kumpulan pelajar perintsi adalah seramai 176 orang yang terdiri daripada peserta Kursus Asas (Kursus A) dan Kursus Dalam Perkhidmatan (Kursus B) dengan pengkhususan dalam kaedah Pengajaran Bahasa Kebangsaan.  

    Sehingga 1986, terdapat pelbagai jenis kursus yang dijalankan di Institut Bahasa seperti Pengajian Melayu/Sejarah, Pengajian Melayu/Geografi, Pengajian Cina dan Pengajian Inggeris. Pada tahun 1987 bermulalah satu perubahan bila Kursus Perguruan Asas dikhususkan untuk Pengajian Melayu Sekolah Rendah dan Pengajian Melayu Sekolah Menengah sahaja. Selain daripada itu Institut Bahasa juga menerima peserta-peserta Kursus Dalam Cuti. Berkenaan Kursus Perguruan Khas satu tahun, Kementerian Pendidikan pada dasarnya telah bersetuju untuk menjadikannya Kursus Diploma.  

    Menjelang tahun 1988, Kursus 14 Minggu diadakan di Institut Bahasa. Perubahan terus berlaku dengan kemasukan seramai 150 orang pelatih Kursus Lepasan Ijazah pada tahun 1990. Pertambahan peserta kursus berlaku dengan adanya Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan 6 Minggu dan 12 Minggu. Pada tahun 1992, dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Institut Bahasa telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak Universiti Malaya bagi mengadakan Program Kembar untuk Diploma Pengajian Tinggi bagi guru-guru. Perlaksanaannya bermula pada tahun 1993. Pengambilan guru pelatih untuk Kursus Perguruan Asas masih diteruskan.  

    Tahun 1988 merupakan tahun bermulanya era baru bagi Institut Bahasa iaitu dengan termaktubnya Rancangan Lima Tahun Institut (1988-1992) yang mengariskan lima perkara penting bagi landasan kepada Pendidikan Guru Bahasa Melayu di Institut Bahasa . Perkara-perkara tersebut ialah pendidikan menyeluruh guru Bahasa Melayu , mendalami usaha-usaha penyelidikan , mempergiatkan pelbagai kegiatan bahasa , sastera dan budaya , melaksanakan program perguruan yang seimbang dan menyeluruh dan menilai perlaksanaan program dan kegiatan dari semasa ke semasa . Semua pelaksanaan program dan aktiviti di Institut Bahasa dijalankan berasaskan kepada tema GIBBS ( Kecemerlangan dari segi Guru , Ilmu , Bahasa Budaya & Sastera dan Sukan ) . Hasrat utama institut adalah untuk melahirkan guru yang bersahsiah mulia , berkebolehan serta tinggi mutu keprofesionalannya .  

    Mulai tahun 1998 juga , pelbagai aktiviti untuk meningkatkan mutu keprofesionalan guru telah dijalankan seperti Konvensyen Pendidikan Bahasa dan Pesta Kanak-Kanak . Aktiviti 'Bulan Bahasa ' dijalankan pada setiap bulan Mac /April untuk meningkatkan prestasi diri guru-guru pelatih dalam pengajaran Bahasa Melayu .  

    Peranan Institut Bahasa menjadikan Bahasa , Sastera dan Budaya Melayu sebagai teras kegiatannya . Oleh kerana itu , kebanyakkan aktiviti yang dijalankan adalah menuju ke arah tersebut .Diantara aktivitinya ialah persembahan dalam perhimpunan bulanan , 'Malam Kembang Puisi' , 'Malam Bintang IB ' , Minggu Sastera dan Budaya dan Sayembara Deklamasi Sajak Malam Merdeka ' . Di dalam melaksanakan aktivitinya Institut Bahasa tidak mengabaikan aktiviti yang bercorak keagamaan . Musabaqah Tilawah Al-Quran , Mentafsir Al-Quran , Kursus Pengurusan Jenazah , ceramah serta pertandingan syarahan agama adalah aktiviti yang dijalankan . Aktiviti-aktiviti ini dapat menambahkan ilmu agama di kalangan warga penuntutnya . Ia secara tidak langsung dapat membantu melahirkan guru yang seimbang dari segi rohani dan jasmani . Dalam arena sukan , guru-guru pelatih Institut Bahasa mengambil bahagian dalam acara sukan antara maktab seperti Pestarama atau KAGUM . Melalui persatuan dan badan-badan kebajikan , para pelatih telah mengadakan pelbagai program seperti Lawatan Sambil Belajar Ke Thailand dan Indonesia , Projek Adik Angkat dan Bakti Guru . 

    Usaha lain digiatkan bagi membolehkan Institut Bahasa mencapai hasratnya untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu yang akan memainkan peranan bukan hanya mendidik guru-guru Pendidikan Bahasa pada peringkat yang lebih tinggi tetapi juga penyelidikan dan perkembangan dalam bidang pedagogi Bahasa Melayu dan Sastera Kanak-kanak . Dari segi Kursus Dalam Perkhidmatan (KPK Satu Tahun ) , sebanyak lapan bidang pengkhususan dikendalikan di Institut Bahasa .  

    Bermula pada tahun 1993 , Institut Bahasa melaksanakan rancangan lima tahun yang seterusnya (1993-1997) . Dalam tempoh ini , IB mula melaksanakan program kembar dengan Universiti Malaya dan meluaskan kursus dalam perkhidmatan untuk meliputi lebih banyak aspek pendidikan Bahasa Melayu . Kini , kumpulan tersebut telah melanjutkan pengajian mereka di Universiti Malaya .  

    Mulai tahun 1996 , Institut Bahasa mula melaksanakan Program Kursus Diploma Perguruan Khas menggunakan kurikulum Tahun Pertama Universiti . Program ini menggantikan Program Kembar IB-UM yang disebutkan di atas . Kini sebahagian besar daripada kumpulan yang mengikut program tersebut sedang melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti . Sejak awal tahun 1998 , Institut Bahasa telah berusaha mengenalpasti kerangka peranan dan tugas yang lebih sejajar dengan perkembangan semasa . Berhubung perkara tersebut BPG dan IB telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) , Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan dan Utusan Melayu bagi meninjau kemungkinan meluaskan program yang berkaitan dengan bahasa , budaya dan sastera Melayu . Hasilnya beberapa program bersama seperti Bengkel Penulisan Kanak-Kanak dan Bengkel Pengarahan dan Produksi Teater Kanak-Kanak telah berjaya dikendalikan.  

    Tanggal 19 Ogos 1996 bermula satu detik dalam sejarah Pendidikan Guru di Malaysia apabila perintis pertama Kursus Diploma Perguruan Malaysia melaporkan diri di Institut Bahasa. Program Diploma Perguruan Malaysia ini diperkenalkan bagi mempertingkatkan lagi imej profesion perguruan dan merupakan kursus baru bagi menggantikan Kursus Perguruan Asas Lima Semester. Diploma Perguruan Malaysia diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha memperkemaskan lagi Sistem Pendidikan Guru Di Malaysia.  

    Pada Majlis Konvokesyen Institut Bahasa pada 28 Mei 1998, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan penukaran nama Institut Bahasa kepada Institut Bahasa Melayu Malaysia. Dengan kenaikan taraf ini Institut Bahasa Melayu Malaysia akan dijadikan pusat utama Perkembangan Pedagogi Bahasa Melayu. IBMM juga akan berfungsi sebagai institusi induk dalam pengendalian program dan aktiviti pengembangan bahasa serta Budaya Melayu. Peranan IBMM juga turut ditambah meliputi usaha menerbit, menghasilkan dan menyumbang sumber pengajaran, pembelajaran, perkhidmatan perundingan dan kepakaran bahasa termasuk dalam bidang Kesusasteraan Melayu.  

  
 

 
Laman Alumni IBMM 96-99 - URL: http://members.tripod.com/ibmm/ - November 1999